Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025, satu tanggung jawab yang digilirkan setiap tahun kepada setiap negara ASEAN. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, tema “Keterangkuman dan Kemampanan,” menjadi rangka kerja Malaysia.
Ia mencerminkan komitmen negara untuk mencapai kemajuan serta tindakan negara ASEAN ini dicapai secara bersama dan berdaya tahan. Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menekankan bahawa setiap keputusan akan berpandukan prinsip muafakat, dengan tujuan membina rantau yang terbuka, inklusif, dan berasaskan peraturan.
Sebagai langkah permulaan, DSAI memulakan persediaannya dengan mengumumkan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi beliau dalam hal ASEAN.
Benarkah Thaksin Bersifat Negarawan?
Jika rekod prestasi bekas Perdana Menteri Thailand itu diambil kira sebagai alasan perlantikannya sebagai penasihat Perdana Menteri Malaysia (PM), maka ianya sesuatu yang tidaklah begitu membanggakan. Alasan PM mengatakan bahawa pelantikan Thaksin akan memanfaatkan ASEAN berdasarkan daripada pengalaman seorang negarawan seperti beliau.
Tidak dinafikan sepanjang 5 tahun sebagai Perdana Menteri Thailand, beliau berjaya melaksanakan dasar ekonomi populis yang dikenali sebagai Thaksinomics, iaitu satu program seperti pinjaman mikro bagi membantu rakyat kawasan luar bandar memperbaiki taraf ekonomi mereka. Selain itu, insurans kesihatan sejagat (30-baht healthcare scheme) turut diperkenalkan bagi memberi akses kepada rakyat Thai menerima rawatan kesihatan apa saja jenis penyakit pada kadar 30bhat. Skim ini memberi penjagaan kesihatan yang komprehensif untuk lebih daripada 99.5% penduduk Thailand.
Namun, disebalik beberapa kejayaan, banyak kontroversi yang menzahirkan Thanksin bukanlah seorang negarawan. Konflik di Wilayah Selatan Thailand (Pattani, Yala,Narathiwat) yang majoritinya penduduk Muslim adalah salah satu contoh betapa Thaksin tidak layak digelar menjadi penasihat PM. Ketegangan Etnik dan Agama di kawasan ini, disamping pemberontakan semakin menjadi ketika di bawah pentadbiran Thaksin. Insiden Berdarah Tak Bai pada 2004 akibat pengendalian keras terhadap penunjuk perasaan contoh sikap Thaksin terhadap penentangnya. Selain itu, penindasan dan tekanan yang dikenakan terhadap media juga bukanlah contoh baik dan alasan yang baik untuk dibanggakan oleh DSAI. Wartawan yang mengkritik dasar dan tindakan Thaksin dilaporkan menghadapi ancaman undang-undang, tekanan ekonomi, dan dalam beberapa kes, mereka diugut secara fizikal. ugutan fizikal.
Mengapa Penasihat Dari Luar dan Bukan Dalaman
Pemilihan Thaksin sudah pastinya mengundang persoalan, seperti kenapa PM memerlukan penasihat untuk Kepengerusian ASEAN ini? Kenapa PM perlu melantik penasihat dari negara luar, sedangkan Malaysia mempunyai ramai pakar. ia seolah memberi satu gambaran bahawa PM tidak percaya kepada kepakaran rakyat Malaysia. Jika PM ingin menegaskan bahawa perlantikan bertujuan untuk memperkuatkan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025, kenapa tidak lantik pakar dari dalam negara?.
Banyak tokoh dan cendekiawan yang mampu membantu PM secara lebih berkesan. Jika PM sendiri tidak selesa dengan bekas Perdana Menteri ke-4, yang terbukti berpengalaman luas, beliau boleh melantik bekas menteri luar negeri yang berpengalaman seperti Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar atau Tan Sri Anifah Aman. Pengalaman mereka yang kini tidak aktif dalam politik mampu memberi nasihat yang boleh membantu PM menaikkan nama negara di persada antarabangsa.
Pelantikan Thaksin sebenarnya menimbulkan lebih banyak keraguan dari kebenaran. Apakah lebihnya Thaksin berbanding tokoh dalaman? Adakah dengan terlantiknya Thaksin, ia memberi kelebihan kepada Malaysia, ASEAN, atau sebenarnya perlantikan ini adalah sebagai sesuatu tindakan politik yang akan menguntungkan PM semata? Pelantikan Thaksin yang belum lagi diberikan peranan secara spesifik seolah ianya adalah cerminan kepada persetujuan PM terhadap tindakan kontroversi Thaksin sebelum ini.
Kesimpulan
Jika PM menganggap Thaksin itu sebagai negarawan dan perlantikan itu memberi manfaat kepada beliau dan Malaysia, kenapa beliau tidak boleh berbesar hati dan berlapang dada melantik Tun Dr Mahathir, negarawan yang lebih disegani?.
Sememangnya Tun adalah orang yang sangat layak dan berpengalaman dalam hal ehwal rantau Asean, malahan banyak negara seperti Jepun dan Bosnia yang menerima pandangan Tun dalam hal berkaitan ekonomi dan politik dunia. Adalah lebih manis menggunakan kepakaran dalaman yang sesama bangsa dan agama serta terbukti kehebatannya berbanding memuja kepakaran luar.