Anwar Harus Buktikan Beliau Tidak Dicengkam DAP

Menteri Belia dan Sukan dari DAP, Hannah Yeoh menerima tamparan apabila kes saman fitnah beliau terhadap Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara (IGP), ditolak mahkamah. Keputusan kes ini menarik perhatian rakyat Malaysia apabila beliau memfailkan saman terhadap bekas IGP yang disifatkan membuat kenyataan berunsur fitnah dalam sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu. Bekas IGP dalam dakwaannya yang dirujuk dari buku yang bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey’ mengaitkan Hannah Yeoh dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian serta merosakkan Islam dan negara. Penolakan oleh mahkamah atas alasan kenyataan bekas IGP tidak memenuhi elemen fitnah seolah memberi persepsi bahawa apa yang diperkatakan itu adalah benar.

Anggota Pentadbiran Harus Tunjuk Contoh

Perlembagaan Malaysia khususnya Perkara 3(1) semenjak dari dahulu lagi telah menetapkan Islam adalah agama Persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni. Manakala, kita juga maklum bahawa Perkara 11(4) turut memperuntukkan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam. Namun, anggota pentadbiran dari parti DAP seolah-olah selesa untuk mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang bersifat provokatif terhadap hidup harmoni dan bertoleransi dalam amalan agama yang dijunjung sejak sekian lama di Malaysia.

Tidak cukup dengan kenyataan Hannah Yeoh, seorang lagi menteri dari DAP, Nga Kor Ming menunjukkan adanya sambutan krismas yang disambut di bangunan kementerian di bawah pimpinan beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Gambar- gambar berlegar menunjukkan bahawa terdapat individu yang berpakaian muslim turut berada semasa persembahan Christmas Carolling. Untuk makluman terdapat fatwa yang mengharamkan penyertaan Christmas Carolling kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak. Rakyat Malaysia beragama Islam sedar bahawa mereka harus menghormati amalan agama lain, selaras dengan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-818 dan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun, tindakan menganjurkan acara seperti ini sekali lagi menyebabkan ketidak selesaan rakyat Malaysia yang memahami penghayatan agama masing-masing. Seharusnya anggota pentadbiran harus sensitif dengan janji dan sumpah setia mereka semasa mereka mengangkat sumpah ketika dilantik sebagai anggota kabinet dan juga selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

PMX Buktikan Anda Bebas

Seharusnya, sebagai Perdana Menteri yang memimpin majoriti rakyat beragama Islam, PMX harus menasihatkan kedua- dua menteri tersebut memohon maaf dan juga meletakkan jawatan dari anggota pentadbiran. Jika gagal, PMX harus membuktikan bahawa beliau tidak takut untuk melakukan sesuatu yang memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia beragama Islam, dengan memecat kedua-dua menteri. Keputusan mahkamah secara tidak langsung sebenarnya membenarkan pengakuan Hannah Yeoh kerana dalam bukunya sendiri mengaku objektifnya adalah untuk mengembangkan agama Kristian.Melalui jawatannya sebagai menteri, kita bimbang ia akan memudahkan niat asalnya yang boleh dilakukan dengan bersembunyi di sebalik jawatan menteri.

Hannah Yeoh sepatutnya mengambil pengajaran dari beberapa kes menteri di Malaysia yang meletakkan jawatan demi menjaga integriti. Hannah perlu merujuk kes saman fitnah oleh Menteri Kesihatan sekitar tahun 1963, Abdul Rahman Talib, ke atas seorang ahli parlimen pembangkang, Seenivasagam. PMX pula harus menambah keyakinan rakyat bahawa beliau tidak dikawal oleh DAP dalam hal ehwal pentadbirannya. Beliau harus memecat Hannah Yeoh demi menjaga integriti kabinetnya yang menjunjung tinggi perlembagaan. Sudah pasti keyakinan rakyat yang memberi markah 54 peratus seperti yang dinyatakan oleh penyelidik Madani Research Centre akan turun jika tiada tindakan tegas diambil. Pastinya rakyat akan terus percaya bahawa PMX sentiasa dibayangi DAP dalam membuat sesuatu keputusan

Kesimpulan

Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama rakyatnya tidak memerlukan pemimpin dan organisasi yang sentiasa membuat provokasi dan menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan, terutamanya terhadap umat Islam, perlu dielakkan. PMX perlu mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran kepada anggota kabinetnya pada kemudian hari. Itupun jika PMX tidak rela dilabelkan sebagai Perdana Menteri bayangan DAP.

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa

Dr. Mukhtaruddin Musa

Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh