Syarikat Insurans Untung Besar, Rakyat Tetap Bayar Mahal

Menjelang tahun 2025, rakyat Malaysia akan berhadapan dengan kenaikan mendadak premium insurans, dengan jangkaan kenaikan antara 40 hingga 70 peratus. Ini berikutan peningkatan kos perubatan di hospital swasta telah mendorong pengendali insurans dan takaful (insurers and takaful operators, ITO) membuat semakan harga tersebut.

Rentetan daripada itu, Bank Negara Malaysia “mengkehendaki ITO untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar”. ITO turut diminta “menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi/peserta takaful yang terjejas”.

Bank Negara Tersilap Langkah?

Malaysia mencatatkan inflasi kos perubatan sebanyak 12.6 peratus bagi tahun 2023, jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 5.6 peratus. Maka, BNM telah menerbitkan dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan yang bertujuan untuk menggalakkan penawaran produk insurans dan takaful yang mampu milik.

Bermula 1 September 2024, ITO dikehendaki menawarkan produk insurans dan takaful yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama (co-payment), dengan kos dijangka 19 hingga 68 peratus lebih rendah berbanding produk yang serupa tanpa co-payment.

Namun hari ini sebaliknya pula yang terjadi. Semakin ramai yang mula membatalkan polisi insurans mereka kerana tidak mampu menampung kenaikan kos. Situasi ini bakal menyebabkan lebih ramai beralih ke hospital kerajaan, lalu memberikan tekanan kepada sistem kesihatan awam yang sudah sedia tertekan dengan waktu menunggu yang lama, wad terlampau padat dan petugas kesihatan yang terbeban dengan kerja.

Sektor Kesihatan Swasta Terus Kaut Untung

Meskipun ITO memberikan alasan kenaikan premium insurans disebabkan oleh peningkatan kos perubatan di hospital swasta, hakikatnya mereka hanya meletakkan beban kewangan kepada pelanggan. Kedua-dua entiti tersebut terus mencatatkan keuntungan.

Umpamanya, IHH Healthcare mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM534 juta bagi suku ketiga 2024, manakala KPJ Healthcare Berhad merekodkan hasil suku tertinggi melebihi RM1 bilion buat pertama kali dalam sejarah. Begitu juga Prudential Assurance yang menguasai pasaran insurans hayat dan takaful di Malaysia masing-masing pada 18 dan 22 peratus, mencatatkan keuntungan bersih RM963 juta bagi tahun 2023, 68 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Sektor kesihatan swasta dilihat terus dibiarkan mengaut keuntungan dan membebankan rakyat dalam masa yang sama. Adakah hal ini berlaku berikutan konflik kepentingan oleh kerajaan yang memiliki pegangan yang besar dalam hospital swasta, menerusi entiti GLIC seperti EPF, KWAP, ASB dan Tabung Haji?

Kesimpulan

Kerajaan dan penggubal dasar menerusi setiap punca kuasa yang dimiliki perlu berperanan untuk mencegah situasi yang lebih buruk daripada terjadi. Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan boleh membuat prosiding untuk memanggil wakil industri dan agensi kerajaan untuk membentangkan bukti dan data berkenaan caj perubatan di hospital swasta. Kementerian Kesihatan dan BNM pula merangka akta yang dapat mengawal selia caj perubatan di hospital swasta.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh