‘Mengembalikan memori lama’, inilah antara ungkapan penuh emosi mengenai langkah strategik AirAsia kembali beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) setelah hampir dua dekad. AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia Tenggara ini bakal membuka lembaran baharu bermula 30 Ogos ini, dengan penerbangan domestik ke Kuching dan Kota Kinabalu serta pakej AirAsia+ (Plus).
Kembalinya AirAsia ke LTSAAS adalah bersekali dengan pembukaan semula operasi lapangan terbang itu setelah empat tahun dihentikan bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Operasi Jet Interim (IJO) dilaksanakan.
Langkah Berani AirAsia
Keputusan AirAsia untuk mengembangkan operasinya di LTSAAS adalah satu langkah yang berani. Memetik kata-kata Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A mengatakan bahawa “Kepulangan AirAsia ke Lapangan Terbang Subang bukan sahaja mengimbau kenangan lama tetapi juga mempunyai strategi penting. Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan Capital A berpusat di sini, dapat meningkatkan kecekapan dan memperkemas aktiviti penyelenggaraan, pembaikan, dan pengubahsuaian (MRO) pesawat kami.”
Langkah strategik ini dilihat maju satu langkah ke hadapan selaras dengan rancangan pembangunan semula LTSAAS yang dijangkakan siap pada 2027. LTSAAS mempunyai kelebihan dari segi kedudukannya yang lebih dekat dengan bandar berbanding KLIA sekaligus dapat memudahkan keseluruhan perjalanan. Selain itu, lokasi LTSAAS ini dilihat mempunyai potensi untuk menarik demografi yang berbeza dan boleh membuka segmen pasaran baru untuk AirAsia.
Perkhidmatan Premium AirAsia+: Strategi Laut Biru
Berbeza dengan KLIA, AirAsia merancang untuk menawarkan perkhidmatan premium ataupun AirAsia+ untuk pengembara perniagaan. Meskipun kos di LTSAAS mungkin lebih tinggi berbanding KLIA, Fernandes tetap yakin bahawa langkah ini adalah tepat. AirAsia akan memusatkan usaha untuk menarik kumpulan pelanggan yang belum pernah menggunakan AirAsia tetapi akan memilih AirAsia kerana lebih mudah. Dengan strategi baru yang inovatif ini, jumlah penerbangan domestik di LTSAAS dijangka meningkat hampir 3% dari 920 menjadi 948 penerbangan mingguan, dengan jumlah keseluruhan 40 laluan.
Ini selari dengan cita-cita AirAsia menerajui industri penerbangan negara sebagai hub penerbangan serantau. Perkhidmatan premium akan termasuk penawaran makanan yang lebih menarik dan pakej bagasi yang berbeza berbanding di KLIA. Bagaimanapun, AirAsia perlu berhati-hati supaya imej jenama tambang murahnya dapat dikekalkan.
Sementara itu, rancangan ini juga bakal menjadi saingan dengan syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airline (MAS), antaranya terhadap penawaran harga tambang yang sesuai. Mencapai keseimbangan yang tepat antara kecekapan kos dan kepuasan penumpang adalah penting. Semua syarikat penerbangan perlu menganalisis lanskap persaingan dengan teliti di LTSAAS untuk mengenal pasti potensi peluang dan ancaman. Dalam hal ini, MAS sendiri perlu memastikan pelan ke hadapan lebih mampan disamping membuat inovasi dan menambah baik persepsi jenama dan pasaran sasaran melalui pelbagai sokongan dan dasar kerajaan sedia ada.
Pesaing Baru KLIA dan Isu Pencemaran
Syarikat penerbangan cenderung untuk memilih lapangan terbang yang menawarkan operasi yang cekap dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Kedua-dua aspek ini mempengaruhi tahap kecekapan, kaedah penetapan harga, dan jaringan rangkaian mereka.
Apabila ditanyakan tentang potensi LTSAAS menjadi pesaing kepada KLIA, Menteri Pengangkutan menegaskan bahawa dengan rancangan pembangunan semula LTSAAS bernilai RM1.3 bilion ini tidak akan menggantikan KLIA, bahkan akan melengkapkannya. Menurut Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood pula, pembangunan semula ini akan mengurangkan beban kapasiti pesawat satu lorong di KLIA, yang kini merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan pesawat dengan memindahkannya ke LTSAAS. Ini memberi peluang kepada KLIA untuk meningkatkan kapasiti bagi penerbangan jarak jauh dengan pesawat ‘wide body’ sekaligus meningkatkan nilai lapangan terbang tersebut.
Bukan itu sahaja, kerajaan bercadang untuk menjadi LTSAAS sebagai lapangan terbang bandar yang memangkin pertumbuhan negara, mirip dengan London City Airport (LCY). LCY terletak hanya enam batu dari pusat bandar London dan menawarkan masa daftar masuk yang lebih cepat. Namun, LCY menghadapi bantahan komuniti akibat pencemaran bunyi apabila mereka membuat pengumuman pembesaran lapangan terbang. LTSAAS turut menghadapi isu serupa. Ini termasuk kesesakan lalu lintas dan kesan peralihan aliran pengguna dari KLIA ke Subang. Dalam hal ini, kerajaan cuba mengambil langkah menetapkan operasi tengah malam tidak dibenarkan bermula dari jam 10 malam hingga 6 pagi.
Dari sudut lain wujud persoalan, adakah ‘kemudahan’ semata-mata mencukupi untuk menggalakkan pelaburan dan kerumitan operasi daripada dua lapangan terbang? Ini pastinya memerlukan satu kos yang tinggi. Satu analisis kos-faedah yang mendalam perlu dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pelancongan untuk menilai sama ada potensi keuntungan dapat mengatasi cabaran tersebut. Tambahan pula, landskap persaingan syarikat-syarikat penerbangan di LTSAAS harus dinilai dengan teliti.
Kesimpulan
Kembalinya AirAsia ke LTSAAS menandakan satu detik penting dalam sejarah syarikat penerbangan dan industri penerbangan di Malaysia. Bukan itu sahaja, ia akan memberi ruang kepada pengembara untuk memilih perkhidmatan mana yang terbaik dan cekap. Lebih-lebih lagi Selangor merupakan negeri yang mempunyai beberapa zon perindustrian berat, pastinya perubahan ini dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan pelanggan untuk menikmati jaringan kesalinghubungan yang cekap.
Namun, tidak dinafikan tumpuan pelaburan di satu tempat semata-mata berpotensi menyebabkan berlakunya pengabaian di tempat yang lain. Maka, kerajaan dan penyedia perkhidmatan perlu mempunyai rancangan untuk mewujudkan kesan pengganda kepada negeri-negeri terdekat. Selain itu, rancangan perniagaan yang disediakan perlulah memberi keutamaan kepada pengguna, dari segi ketepatan waktu, pengurusan aduan dan penawaran harga yang berbaloi. Persaingan yang lebih sihat juga perlu menjadi keutamaan pengawal selia yang kini diterajui oleh CAAM bagi kepentingan pengguna.
Sumber: harakahdaily