Elak Caj Mahal Hospital Swasta

Tahun 2023 mencatatkan peningkatan kos penjagaan kesihatan yang amat tinggi di hospital swasta, apabila secara purata satu lawatan hospital pesakit perlu membayar RM10,700 berbanding RM8,800 pada tahun 2020 – peningkatan sebanyak 22%. Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat menggesa kerajaan untuk menyelaraskan caj bagi rawatan perubatan untuk mengurangkan jurang pembayaran bil di hospital swasta.

Adakah Inflasi Punca Utama?

Apakah punca kepada kenaikan kos kesihatan hospital swasta ini? Menurut laporan yang dibentangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) kepada Ahli Parlimen Kerajaan, sebanyak 61% polisi insurans perubatan dan kesihatan mengalami peningkatan premium sehingga 20%, diikuti 30% polisi meningkat sekitar 21-40%, 5% polisi meningkat sekitar 41-60% dan 4% polisi meningkat melebihi 60%.

Walau bagaimanapun, semakan harga premium insurans dan peningkatan kos perubatan swasta ini tidak setara dengan kadar tuntutan yang lebih tinggi dalam kalangan pemegang polisi insurans. Inflasi bagi premium insurans dan kos perubatan masing-masing pada kadar 20% dan 47% bagi tempoh 2021-2023, lebih rendah berbanding inflasi kos tuntutan insurans iaitu 56%.

Ini bermakna, sikap pengguna yang membuat tuntutan insurans merupakan antara punca utama kepada kenaikan kos perubatan swasta.

Apa Kerajaan Boleh Lakukan?

Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat telah mengemukakan cadangan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme diagnosis-related groups (DRG) berbanding itemised hospital billing yang digunakan di fasiliti kesihatan swasta.

Menerusi DRG, pembayaran dibuat berdasarkan amaun tetap bagi satu-satu diagnosis, berbanding berdasarkan perincian bagi setiap perkhidmatan, prosedur, ubatan dan bekalan yang diberi kepada pesakit. Ini menggalakkan hospital untuk menguruskan sumber secara efisien dan tidak mengenakan perkhidmatan tambahan yang tidak perlu, semata-mata untuk mengautkan keuntungan berlebihan.

Selain itu, kerajaan turut telah menyatakan komitmen untuk membuat pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang kini hanya mengawal bayaran terhadap konsultasi doktor dan beberapa prosedur lain. Pindaan ini akan memberi laluan kepada mekanisme DRG untuk dijalankan di hospital swasta.

Kesimpulan

Perihal penjagaan kesihatan merupakan satu perkara yang rumit kerana melibatkan dasar jangka masa pendek dan panjang kerajaan, perkhidmatan swasta yang sentiasa mengutamakan keuntungan dan sikap rakyat sebagai pengguna. Malaysia sentiasa menjadi perhatian dunia kerana menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan mampu milik.

Tidak ada sesiapa yang boleh menjadikan kesihatan rakyat sebagai komoditi yang dilihat dari aspek untung rugi sahaja walhal nyawa rakyat terus diperjudikan. Kita tidak mahu apa yang berlaku di negara seperti Amerika Syarikat terjadi di negara kita sendiri.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh